EKONOMI

BNM Kenakan Denda Berjumlah RM35,000 Ke Atas Merchantrade Asia, JAGS Money

30/04/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sejumlah RM35,000 dalam bentuk penalti monetari pentadbiran (AMP) ke atas Merchantrade Asia Sdn Bhd dan JAGS Money Sdn Bhd.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata AMP sebanyak RM29,000 dikenakan ke atas Merchantrade Asia dan RM6,000 ke atas JAGS Money disebabkan ketidakpatuhan terhadap Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

"Ketidakpatuhan tersebut disebabkan oleh kelalaian Merchantrade Asia dalam prosedur saringan sekatan serta kelemahan dalam mengemas kini pangkalan data sekatan mereka selepas penerbitan Senarai Domestik," kata BNM.

Merchantrade Asia sebagai institusi pelapor dikehendaki menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, berpotensi atau baharu berdasarkan Senarai Domestik.

Selain itu saringan turut dikehendaki dijalankan ke atas Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan dan usaha wajar yang berterusan.

Ia juga perlu memastikan kemungkinan padanan dengan Senarai UNSCR atau Senarai Domestik iaitu padanan sebenar bagi mengelakkan padanan palsu.

"Sebagai tindak balas, Merchantrade memperkukuh prosesnya dengan melanggan perkhidmatan pangkalan data komersial bagi memastikan ia menerima kemas kini senarai sekatan dengan segera.

"Selain itu, ia perlu memastikan kakitangan dan ejen diberikan latihan di tempat kerja secara berkala bagi meningkatkan pematuhan," kata BNM.

Sementara itu, jelas BNM, ketidakpatuhan JAGS Money berpunca daripada kegagalan untuk mengemas kini sekatan pangkalan data dengan segera selepas penerbitan Senarai Domestik serta kegagalan menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik.

"JAGS membayar sejumlah RM6,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 17 Mac 2025," kata bank pusat tersebut.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan