PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Empat individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ direman empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM360 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50-an dan 70-an itu telah ditahan antara 4 hingga 6 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Siasatan awal mendapati kesemua individu itu dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2016 hingga 2017.
“Mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM1.3 bilion,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial