KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya yang mayat mereka ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di Kampung Sungai Penchala, berada dalam keadaan waras ketika melakukan kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memaklumkan kepada Hakim K.Muniandy bahawa berdasarkan laporan perubatan psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh bertarikh 7 Feb 2025, beliau berpendapat Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 44, tidak menghidap penyakit mental dan semasa kejadian pada 9 Dis 2023, keadaan mental lelaki itu adalah waras.
"Tertuduh sedar akan sifat dan akibat daripada perbuatannya itu serta mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan terbabit adalah salah dan bertentangan dari segi undang-undang.
"Keadaan mental tertuduh adalah stabil pada tarikh laporan ini ditulis. Tertuduh layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu untuk membela diri," kata Izalina pada prosiding sebutan kes itu.
Sementara itu, peguam Mohd Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi mengesahkan mengenai laporan perubatan itu dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengakuan bersalah anak guamnya diteruskan.
Izalina kemudian memohon tarikh lain untuk fakta dan hukuman memandangkan barang kes tidak dibawa pada prosiding hari ini.
Hakim Muniandy menetapkan 20 Mei ini untuk fakta dan hukuman.
Pada 27 Nov 2024, Hakim Muniandy memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 Sept 2024 adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini, pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat suami isteri warga emas ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh selepas berlaku pergaduhan antara lelaki berkenaan dengan ibu bapanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial