DUNIA

Malaysia Main Peranan Penting Dalam Respons ASEAN Terhadap Gempa Myanmar - PM Singapura

29/04/2025 11:07 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 29 April (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini memainkan peranan penting dalam menyelaras respons blok serantau itu terhadap kejadian gempa bumi terbaru di Myanmar, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Wong berkata beliau berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengenai situasi kemanusiaan susulan bencana itu.

“Beliau baru-baru ini melawat Thailand dan memaklumkan saya tentang situasi kemanusiaan selepas gempa bumi dahsyat itu. Dalam masa yang penuh ketidakpastian ini, perpaduan serantau lebih penting daripada sebelumnya,” kata Wong menerusi hantaran di media sosial.

Gempa bumi kuat 7.7 magnitud melanda tengah Myanmar pada 28 Mac, mengorbankan lebih 3,700 nyawa.

Semasa lawatan kerja ke Thailand, Anwar bertemu Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) Mahn Win Khaing Than bagi membincangkan usaha memulihkan keadaan di negara itu selepas bencana.

Susulan pertemuan itu, kedua-dua pemimpin Myanmar berikrar untuk melanjutkan gencatan senjata dan memastikan keselamatan petugas kemanusiaan.

Pada Selasa, Anwar menyeru agar gencatan senjata di Myanmar yang dijadual tamat pada 30 April dilanjutkan.

Beliau menegaskan yang gencatan senjata itu penting bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada semua komuniti yang terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan