SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Yayasan Selangor memperkukuh komitmen memperkasakan pendidikan anak-anak negeri ini dengan menawarkan biasiswa kepada 423 pelajar dengan jumlah tajaan sebanyak RM2.015 juta.
Surat tawaran biasiswa disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad kepada penerima yang mewakili pelbagai latar belakang, termasuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, B40 dan luar bandar, di Dewan Bestari Asrama Yayasan Selangor Klang, hari ini.
Raja Nazrin Shah berkata melalui biasiswa ini, murid terpilih menerima bantuan kewangan dalam bentuk Biasiswa Kecil sebanyak RM700 setahun atau Biasiswa Khas sebanyak RM1,000 setahun, selain manfaat tambahan merangkumi perbelanjaan pendidikan seperti yuran persekolahan, buku teks dan keperluan asas lain.
“Yayasan Selangor turut memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun untuk menampung kos penyediaan makanan dan minuman pelajar di dua asrama pusatnya di Klang dan Sabak Bernam, satu usaha holistik dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid terus terpelihara.
“Selain peruntukan biasiswa ini, Yayasan Selangor juga melaksanakan pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah termasuk kelas bimbingan, tuisyen percuma, bengkel peperiksaan, serta program sokongan akademik seperti motivasi, jati diri dan kepimpinan,” katanya.
Raja Nazrin Shah berkata pihaknya beriltizam untuk menyediakan segala kemudahan yang diperlukan demi membantu kemenjadian murid-murid tajaan yayasan itu.
Beliau turut menyeru pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan, serta berusaha menjadi insan yang serba boleh dan berdaya saing.
“Dengan segala kemudahan dan program yang diberikan, semua murid dituntut agar menjadi seorang yang serba boleh, memiliki minda kelas pertama dengan pengetahuan yang luas serta berusaha mengasah kemahiran pelbagai, selain berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat,” katanya.
Raja Nazrin Shah berkata inisiatif berkenaan mencerminkan iltizam Yayasan Selangor untuk terus mendukung agenda pendidikan negeri dan negara, seiring dengan hasrat melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial