EKONOMI

Negeri Sembilan Raih Pelaburan RM7.25 Bilion Tahun Lepas 

29/04/2025 02:27 PM

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan berjumlah RM7.25 bilion tahun lepas, dengan 208 projek diluluskan meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama pelbagai kementerian tahun lepas, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata RM3.4 bilion atau 46.9 peratus daripada jumlah itu adalah pelaburan asing yang melibatkan projek berteknologi tinggi.

Beliau berkata projek itu melibatkan pembesaran Safran Landing Systems (RM650 juta) dari Perancis; Fraser and Neave (RM1.8 bilion) dari Amerika Syarikat dan Singapura; AntMed Malaysia (RM700 juta) dari China; MyNAFCO Malaysia (RM300 juta) dari Taiwan dan projek pembesaran Shin Heung Sec (RM100 juta) dari Korea Selatan.

“Sepanjang tempoh 2019 sehingga Disember 2024, jumlah keseluruhan pelaburan asing yang diluluskan di negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi adalah RM24.1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau), diwakili Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang), mengenai jumlah pelaburan asing di negeri ini bagi tempoh Januari 2024 hingga Februari 2025.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat  berkata data rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pelaburan suku pertama tahun ini dijangka diumumkan pada Mei.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod kelulusan projek daripada Invest NS, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini sebanyak enam projek diluluskan dengan anggaran pelaburan RM1.505 bilion, katanya.

“Daripada jumlah tersebut, empat projek melibatkan pelaburan asing iaitu dari On Semiconductor (Amerika Syarikat), T. Hasegawa Flavour dan Medijoy (Jepun) serta In Win Asia (Taiwan).

“Berdasarkan rekod MIDA, tarikan pelaburan sepanjang tahun lepas mencipta 4,684 peluang pekerjaan baharu. Jumlah ini melebihi angka pada 2023 yang menawarkan 3,250 peluang pekerjaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan