BUKIT MERTAJAM, 28 April (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga emas di sebuah pondok di Cheruk Tokun, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 3.22 petang semalam mengenai insiden pergaduhan di pondok itu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 63 tahun.
Beliau berkata semasa kejadian, mangsa dan lima rakannya termasuk suspek utama iaitu lelaki warga emas berusia 70 tahun sedang duduk berbual di pondok berkenaan.
“Namun secara tiba-tiba, suspek dipercayai bangun sebelum datang semula dan terus memukul mangsa dari arah belakang dengan sebatang kayu sehingga lelaki berkenaan rebah.
“Dia (suspek) kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau sebelum terus menikam warga emas berkenaan (mangsa),” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata suspek kemudiannya terus beredar dari lokasi kejadian dan menghilangkan diri manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
Helmi berkata siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berlaku sejak tiga hari lepas dan ia berlarutan hingga hari kejadian.
“Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dan memaklumkan kesemua lelaki itu kini ditahan reman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial