JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM, BMR Brunei Perkasa Kerjasama Banteras Rasuah

28/04/2025 10:56 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam sepakat memperkukuh kerjasama bagi mempertingkatkan hubungan serta perkongsian strategik dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh.

Komitmen tersebut dinyatakan dalam sesi perbincangan sempena kunjungan hormat delegasi BMR yang diketuai Pengarahnya Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza Abd Ghani ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Perbincangan itu turut meliputi pelbagai aspek kerjasama termasuk latihan dalam bidang perisikan yang dianjurkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta penempatan pegawai BMR dalam Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) anjuran bersama UKM dan SPRM.

SPRM, menurut Azam, sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan bersedia berkongsi khidmat nasihat berhubung hal-hal pentadbiran bersama BMR.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM P/TPj Rasidah Abdul Karim, Ketua Penyiasat Khas BMR Umi Kalthum Zatil Amali, Penyiasat Khas Kanan Hasrina Suzanty Jamil serta Penyiasat Khas Kanan Digital Forensik dan Perkhidmatan Teknologi Haji Ide Rizal Basman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan