EKONOMI

MIDA, FMM, Bintang Capital Bekerjasama Lancar Dana Bagi Ubah Industri Semikonduktor Malaysia

28/04/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Bintang Capital Partners Bhd bekerjasama untuk memperkenalkan dana iaitu Bintang Semiconductor Impact Fund I (BSIF I).

Dana ini bagi merevolusikan industri semikonduktor Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MIDA, FMM dan Bintang Capital berkata ketiga-tiga pihak memeterai memorandum persefahaman pada 16 April 2025.

Kata mereka, dana ini direka untuk menggalakkan amalan lestari dalam industri serta impak sosial sambil memperkukuh rantaian nilai semikonduktor domestik dan mempersiapkan syarikat untuk kemungkinan tawaran awam permulaan (IPO).

"BSIF I menyasarkan pelaburan dalam syarikat yang berada dalam serta berkaitan dengan rantaian nilai semikonduktor termasuk pembuatan berteknologi tinggi dan automasi.

"Dana ini menekankan inisiatif peralihan karbon selain mempromosikan peluang pembangunan kerjaya untuk wanita sambil mematuhi piawaian pensijilan 'B Corp' global," kata mereka.

Kenyataan itu berkata, sama seperti dana ekuiti persendirian, BSIF I menyasarkan untuk membiayai syarikat dalam tempoh beberapa tahun bagi membolehkan mereka berkembang serta seterusnya beralih kepada tawaran awam permulaan (IPO).

Menurut ketiga-tiga pihak berkenaan, kerjasama ini sejajar sepenuhnya dengan matlamat Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

NSS memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan semikonduktor tempatan serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan bagi membangunkan keupayaan bertaraf dunia.

Ia juga menarik pelaburan premium selain menjadikan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang dipercayai.

"Kerjasama ini menyediakan platform yang sempurna bagi memupuk inovasi, memacu amalan lestari dan mencipta kesan ekonomi yang berkekalan untuk negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerjasama ini seiring dengan aspirasi bercita-cita tinggi FMM bagi membangunkan 100 syarikat yang bersedia untuk IPO dalam tempoh lima tahun.

"Membantu syarikat bersedia untuk IPO dan memberi mereka akses kepada pembiayaan merupakan langkah penting dalam membolehkan pertumbuhan mereka.

"FMM komited untuk membantu PKS untuk berkembang dan maju," katanya.

Kenyataan itu menambah, FMM menyasarkan untuk memperkukuh landskap pembuatan Malaysia, memacu inovasi dan daya saing di seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bintang Capital Johan Rozali-Wathooth berkata firma tersebut merupakan penyokong yang bersemangat untuk membina syarikat, mewakili nilai-nilai terbaik kapitalisme bertanggungjawab iaitu syarikat yang memenuhi piawaian tertinggi tadbir urus dan etika seperti yang diwakili oleh pensijilan "B Corp".

"Kejayaan kami akan meletakkan Malaysia di peta global dari segi mempunyai ekosistem pembuatan berteknologi tinggi yang sangat berbeza serta memberi kesan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan