KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli berpeluang menikmati kemudahan geran Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) sebagai sokongan kepada perjalanan kariernya jika meraih keputusan positif pada dua kejuaraan disertai musim ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Kejuaraan Dunia Junior GP dan MotoGP Rookies Cup menjadi medan penilaian pelumba berusia 17 tahun itu yang berada di bawah kendalian pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
"Hakim Danish di bawah program pembangunan bakat SIC, saya kena bincang dahulu dengan mereka. Sekarang ini sudah ada geran KWASN yang dibuka untuk atlet individu selagi mereka sertai kejohanan yang ada sistem ranking dunia, mereka boleh memohon dan kita akan beri sedikit geran.
“Kalau Hakim Danish raih podium, ia tidak berikan masalah (untuk dapat KWASN) dan jika sebaliknya, dia juga masih boleh mohon," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di sini hari ini.
KWASN adalah geran yang diwujudkan bagi membantu badan sukan menganjurkan program atau aktiviti selain membantu penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa bagi memperbaiki ranking mereka.
Baru-baru ini, pelumba kelahiran Terengganu itu mencipta sensasi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol saingan Rookies Cup selepas meraih podium berganda pada perlumbaan satu dan dua di Litar Jerez.
Kejayaan berganda itu menyaksikan Hakim Danish mengungguli carta perlumbaan itu dengan mengumpul 40 mata, di hadapan pelumba Australia Carter Thompson (38 mata) dan pelumba Sepanyol Brian Uriarte (25 mata).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial