BANDAR ABBAS (Iran), 28 April (Bernama-IRNA) -- Gabenor Wilayah Hormozgan Mohammad Ashuri berkata pada Ahad jumlah korban dalam insiden di Pelabuhan Shahid Rajaee meningkat kepada 40 orang dan lebih 1,000 cedera, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Daripada jumlah yang cedera, seramai 194 orang masih dirawat di hospital, manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.
Sembilan mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital di luar Wilayah Hormozgan untuk rawatan pakar.
Letupan besar melanda Pelabuhan Shahid Rajaee di Bandar Abbas pada Sabtu, dengan hanya satu daripada 23 dermaga pelabuhan itu mengalami kerosakan serius.
Menteri Dalam Negeri Eskandar Momeni, yang dilantik Presiden Masoud Pezeshkian untuk menyelia lokasi dan usaha bantuan, berkata pada Ahad malam bahawa punca insiden sedang disiasat dan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengumpulkan bukti berkaitan letupan itu.
Beliau memberi jaminan kepada rakyat Iran bahawa pihak bertanggungjawab akan diambil tindakan. Momeni turut memaklumkan bahawa pasukan penyelamat dan bomba bertindak segera untuk memadamkan kebakaran dan mengawalnya daripada merebak.
Dalam mesyuarat Kabinet pada Ahad, Naib Presiden Pertama Mohammad-Reza Aref berkata siasatan mengenai punca letupan sedang dijalankan secara serius.
Beliau berjanji butiran mengenai insiden itu akan dimaklumkan kepada rakyat sebaik sahaja tersedia. Aref juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan simpati kepada yang cedera.
Susulan insiden itu, Kabinet Presiden Pezeshkian mengisytiharkan Isnin sebagai hari berkabung di seluruh negara.
Jurucakap Jabatan Kecemasan Mojtaba Khaledi mengumumkan bahawa 50 pasukan penyelamat, bantuan dan perubatan telah dikerahkan ke Pelabuhan Shahid Rajaee. Beliau juga memaklumkan bahawa 31 penerbangan helikopter telah dijalankan bagi membantu operasi memadam kebakaran di pelabuhan itu.
-- BERNAMA-IRNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial