SUKAN

Selangor Sasar 3,500 Pelari Sertai SHM 2025

28/04/2025 04:36 PM

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan 3,500 peserta termasuk dari luar negara menyertai Selangor Half Marathon (SHM) 2025 pada 14 Jun depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata setakat ini, kejohanan julung kali yang menawarkan hadiah wang tunai lebih RM30,000 itu menerima 3,200 penyertaan, termasuk dari 10 negara antaranya Jepun, Hong Kong, Brunei, Australia, Singapura dan Indonesia.

“Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 5 kilometer (KM) Fun Run, 10KM, dan 21KM (Half Marathon) serta kategori istimewa 10KM Remaja bagi peringkat umur 13 hingga 17 tahun.

“Penyertaan masih dibuka dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar sehingga 15 Mei bagi merebut hadiah yang ditawarkan termasuk lebih 50 cabutan bertuah,” katanya pada sidang media SHM 2025 di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Usahawan akan mengeluarkan makluman dan pekeliling mengenai pertandingan serta penutupan jalan sempena kejohanan itu selewat-lewatnya dua minggu sebelum acara bermula.

Beliau berkata SHM 2025 bukan sekadar acara larian tetapi turut menjadi wahana penting dalam membudayakan amalan gaya hidup sihat dan mengangkat Shah Alam sebagai destinasi sukan pelancongan mesra keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan