AM

Kerjasama Awam-Swasta Penting Untuk Menjamin Penjagaan Mata Berkualiti Dan Mudah Diakses - Wan Azizah

26/04/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Tanggungjawab menjaga kesihatan mata rakyat Malaysia merupakan usaha bersama yang perlu digalas oleh semua pihak, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata hospital awam dan swasta memainkan peranan penting sebagai penjaga kesihatan mata, memastikan penjagaan mata yang berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Usaha kolektif ini memperkukuhkan kemampuan kita untuk menyediakan perkhidmatan oftalmologi bertaraf dunia, merapatkan jurang dalam aksesibiliti dan membawa penjagaan penglihatan lebih dekat kepada komuniti yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan Kongres Saintifik Oftalmologi Malaysia (MOSC) 2025 di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia telah mencapai kemajuan signifikan dalam amalan oftalmologi. Beliau turut memaklumkan bahawa Kajian Mata Kebangsaan III yang dijalankan pada 2023 melaporkan pengurangan dramatik dalam prevalens kebutaan di kawasan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata kajian itu menunjukkan kadar kebutaan di kawasan timur menurun daripada 1.6 peratus kepada 0.8 peratus, manakala di Sarawak mencatatkan penurunan daripada 2.1 peratus kepada 0.6 peratus, sekali gus mencerminkan kemajuan negara dalam memperkukuh perkhidmatan penjagaan mata.

“Sungguh membanggakan apabila melihat kemajuan yang dicapai dalam bidang ini, yang turut diterajui oleh golongan muda masa kini, iaitu satu bukti keupayaan inovasi, iltizam, dan keprihatinan terhadap komuniti,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata Pangkalan Data Mata Kebangsaan (NED) yang ditubuhkan pada 2002, memainkan peranan penting dalam perjalanan ini dengan memperkasakan pakar oftalmologi membuat keputusan berdasarkan bukti untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit secara berterusan.

Dr Wan Azizah berkata pendekatan berasaskan data inilah yang membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)/Agensi Antarabangsa untuk Pencegahan Buta (IAPB) berkaitan hasil pembedahan katarak pada 2018 — satu pencapaian yang membanggakan dan menyerlahkan kepimpinan negara dalam menetapkan standard penjagaan mata di peringkat global.

Mengulas mengenai MOSC, beliau berkata kongres selama tiga hari yang bertemakan “Bersatu Kita Teguh: Satu Visi untuk Malaysia” itu menghimpunkan para profesional berwibawa dari sektor kesihatan awam dan swasta bagi berkongsi ilmu serta membincangkan strategi ke arah memperkukuh masa depan penjagaan mata negara.

Pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dalam Oftalmologi 2025, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam bidang ini, memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai pakar oftalmologi dari 1978 hingga 1993.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan