HULU SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Sebanyak 112 ekor Tapir Malaya mati akibat dilanggar kenderaan di jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya bagi tempoh 2020 hingga tahun lepas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata data terkini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menunjukkan hanya 700 hingga 800 ekor Tapir Malaya berada di habitat asal.
Beliau berkata pelbagai inisiatif dan inovasi dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi kes kematian tapir akibat kemalangan jalan raya.
“Antara yang kita laksanakan termasuk pemasangan jalur rentas kuning, papan tanda LED hidupan liar melintas dan solar amber light di beberapa lokasi seperti di Gerik, Perak dan di Kedah.
“Kita juga sedia mempertimbangkan untuk memperluaskan inisiatif ini di kawasan yang bersesuaian termasuk di Selangor yang ada kes-kes kematian tapir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tapir Sedunia di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun di Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.
Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies tapir selain meraikan usaha konservasi yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap spesies hidupan liar berkenaan.
Mengulas mengenai usaha pembiakan Tapir Malaya, Nik Nazmi berkata kementerian melalui Perhilitan akan terus mempergiat usaha konservasi secara kaedah in-situ (di habitat asal) dan ex-situ (di luar habitat asal seperti pusat konservasi).
“Selain itu, perlindungan habitat dan koridor ekologi akan terus diperkukuh dengan pembinaan jejambat di Koridor Ekologi Sungai Deka di Terengganu, Koridor Ekologi Sungai Yu di Pahang dan Koridor Ekologi Gerik.
“Malah kerja-kerja bagi tujuan pembinaan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan juga sudah kita mulakan ketika ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial