EKONOMI

Keputusan OPR BNM Dibuat Berdasarkan Pendekatan Berhemat -- Amir Hamzah

26/04/2025 09:43 AM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dalam menangani Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang disifatkan sebagai instrumen dasar  berkuasa yang perlu digunakan hanya apabila keadaan memerlukan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah berkata susulan kadar OPR yang rendah pada 1.75 peratus semasa pandemik COVID-19, BNM telah mengambil pendekatan berhemat dan secara berperingkat untuk menaikkan kadar berbanding negara lain yang bertindak balas dengan kenaikan agresif untuk menangani inflasi.

"BNM juga menaikkan kadar, namun ia dinaikkan secara berhemat, dan mencapai kadar yang agak akomodatif pada 3.0 peratus yang mana selesa bagi perniagaan untuk masih terus boleh beroperasi,” katanya semasa Forum Kepimpinan ASEAN di Washington, DC, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan BNM untuk mengekalkan kadar pada 3.0 peratus dan rangka kerja luar jangka Malaysia sekiranya berlaku lebih banyak ketidaktentuan dan turun naik pasaran pada masa depan. 

Beliau berkata inflasi keseluruhan, yang mencecah 1.8 peratus tahun lepas, telah susut kepada 1.4 peratus pada Mac tahun ini, menunjukkan bahawa inflasi negara terkawal.

"Kadar (OPR) berada pada 3.0 peratus sekarang. Tiada tekanan untuk kerajaan pada masa ini pada kadar itu," kata Amir Hamzah semasa sesi soal jawab pada forum anjuran Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) itu.

"Bagaimanapun, jika keadaan menjadi sukar, adakah ada instrumen untuk dipertimbangkan? Ya, ia ada, tetapi kami tidak mengambil keputusan secara dahuluan," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM ketiga dijadual diadakan pada 8 Mei 2025, yang akan membuat keputusan mengenai OPR.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan