AM

KKM Perlukan Sumber Manusia Mampan, STEM Jadi Kunci - Dr Dzulkefly

25/04/2025 08:04 PM

KOTA BHARU, 25 April (Bernama) – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang disifatkan berpotensi menjejaskan bekalan pelajar ke jurusan perubatan pada masa depan.

Beliau berkata walaupun terdapat 14,000 pelajar memperoleh keputusan cemerlang semua A, minat terhadap STEM dilihat semakin menurun sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan negara.

“Saya memerhatikan 14,000 pelajar memperoleh semua A, tetapi apa yang mustahak hari ini ialah kita menyaksikan sedikit penurunan minat terhadap STEM. 

"Saya agak bimbang kerana aliran sains yang akan menjadi takungan bekalan untuk jurusan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di PPR Kota Bharu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keperluan memperkukuh minat pelajar terhadap STEM sebagai usaha jangka panjang memastikan kelestarian sumber manusia dalam bidang perubatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan lebih proaktif dalam menyuntik motivasi dan semangat kepada pelajar untuk memilih aliran tersebut.

“Saya harap daripada 14,000 pelajar ini, kita dapat menyemai kembali minat terhadap STEM. Ini amat penting bagi memastikan isu berkaitan sumber manusia di Kementerian Kesihatan (KKM) dapat ditangani secara berkesan,” katanya.

Menurut beliau, aspek mengekalkan pakar, hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan pegawai kesihatan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor perubatan kekal mampan dan mampu menarik minat generasi muda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan