JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rampas Dadah Bernilai RM2.64 Juta Dipercayai Untuk Pasaran Eropah

25/04/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Polis merampas lebih 75 kilogram bunga ganja bernilai RM2.64 juta dipercayai untuk dipasarkan ke negara Eropah, dalam pemeriksaan ke sebuah rumah sewa yang dijadikan stor penyimpanan di Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Pemeriksaan ke atas rumah berkenaan pada Rabu lepas, dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dan seorang lagi warga China berusia 38 tahun, dipercayai dalang utama dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata kedua-dua suspek, masing-masing ditahan pada hari sama di sebuah kedai kopi di Sepang, Selangor pada 5.25 pagi dan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang pada 6.15 pagi.

“Pemeriksaan ke atas bilik utama rumah tersebut menemukan sebanyak 144 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan disyaki bunga ganja dengan jumlah berat keseluruhan 75.51 kilogram.

“Mereka menggunakan rumah sewa atau homestay dengan kadar harian RM180 sebagai stor penyimpanan dadah, sebelum diedarkan ke pasaran Eropah. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Januari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan warga China yang ditahan, turut disiasat sama ada menggunakan dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

“Tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil, selepas sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai RM25,327 telah disita.

“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan JSJN turut giat memburu saki baki lain yang masih bebas bagi memastikan sindiket ini lumpuh sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan