DUNIA

Rundingan Malaysia-AS Pacu Bursa Malaysia Kekal Meningkat Pada Tengah Hari

25/04/2025 04:05 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada tengah hari Jumaat susulan perkembangan pertemuan delegasi Malaysia, diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan pegawai Amerika Syarikat (AS) berkaitan tarif di Washington.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.42 mata atau 0.03 peratus kepada 1,506.94 daripada 1,506.52 dalam penutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 5.12 mata kepada 1,511.64 dan bergerak dalam julat 1,505.68 hingga 1,512.29 dalam dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 502 berbanding 305, sebanyak 399 kaunter tidak berubah, 1,251 tidak diniagakan dan 39 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion saham bernilai RM910.41 juta.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran dijangka menilai perkembangan pertemuan berkaitan tarif itu selepas rehat tengah hari.

“Kami juga menjangkakan pelabur asing akan turut memberi reaksi,” katanya kepada Bernama.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Malaysia terbuka untuk berunding dengan AS) dalam empat bidang utama -- mengurangkan defisit dagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Pada masa sama, Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Tengku Zafrul telah bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Duta Besar Jamieson Greer, di Washington DC pada 24 April 2025 bagi membincangkan tarif timbal balas yang dikenakan AS terhadap Malaysia.

Malaysia optimis mengenai penangguhan 90 hari mengenai pelaksanaan langkah tarif itu baru-baru ini dan menganggapnya sebagai satu peluang untuk berlibat urus secara membina dengan pihak AS.

Malah, Malaysia juga secara terbuka telah menyatakan tidak akan mengambil tindakan tarif balasan terhadap AS dan bersedia untuk bekerjasama bagi mencapai hasil dipersetujui bersama terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pentadbiran AS.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut 3.0 sen kepada RM9.92, Tenaga Nasional turun 2.0 sen kepada RM13.58, CIMB turun 1.0 sen kepada RM6.97, IHH Healthcare menguncup 2.0 sen kepada RM6.86 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.37.

Bagi saham aktif, Richtech menokok 4.0 sen kepada 28.5 sen, Nationgate meningkat 7.0 sen kepada RM1.25, Yong Tai dan Tanco masing-masing meraih setengah sen kepada 22.5 sen dan 86 sen dan Bina Puri naik 12 sen kepada 25.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 34.53 mata kepada 11,189.07, Indeks FBMT 100 naik 27.58 mata kepada 10,963.73, Indeks FBM Emas Shariah menambah 45.57 mata kepada 11,034.89, Indeks FBM 70 melonjak 137.32 mata kepada 15,714.50 namun Indeks FBM ACE menguncup 8.89 mata kepada 4,594.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.71 mata pada 147.62, Indeks Tenaga menokok 6.95 mata kepada 672.79 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.92 mata kepada 17,992.0 dan Indeks Perladangan turun 0.19 mata kepada 7,193.17.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan