KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan langkah kerajaan untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bertujuan memberikan keselesaan kepada rakyat yang sekian lama hidup di perumahan daif.
Berucap pada majlis pelancaran projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI hari ini, beliau berkata status tanah untuk pembaharuan semula itu tidak berubah sama sekali, sama ada ia dimiliki individu, milik kerajaan negeri atau di kawasan rizab Melayu.
"Ada rakyat tinggal di flat PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang berusia sudah 50 tahun, kawasan sesak, tidak selesa, masalah sosial berat, masalah displin dan pelbagai kerana tekanan begitu rupa.
"Sebab itu menjadi tanggungjawab kita, mesti ada tumpuan, mesti bangunkan semula perumahan itu. Tetapi itu dijadikan bahan politik caci mencaci, (dikatakan) merampas tanah Melayu, agenda Cina untuk mengusir Melayu dari kota.
"Kalaulah seperti flat Seri Perlis yang pada saya paling melemaskan, saya tidak bangga sebagai seorang Perdana Menteri kalau tidak dapat melakukan apa-apa untuk bangunkan semula," katanya pada majlis itu.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Pada masa sama, Anwar berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan rumah sementara yang akan didiami ketika projek pembaharuan itu dilaksanakan, mengambil kira keselesaan dan kemudahan rakyat.
Selain itu, beliau turut memberikan jaminan projek pembangunan berkenaan akan dilaksanakan dengan kadar segera sebaik sahaja diluluskan.
"Melewatkan pelaksanaan tiga bulan bermakna sengsara keluarga itu tiga bulan. Bayangkan kalau kita di situ, rumah tak siap, tiga bulan tangguh, enam bulan tangguh.
"Kalau ada pegawai-pegawai terlibat, saya nak hantar pegawai-pegawai hidup di rumah sementara itu, baru dia tahu bagaimana sengsara dan terseksa terpaksa menunggu," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata pembaharuan semula bandar bukanlah agenda baharu di bawah Kerajaan MADANI tetapi telah dimulakan sejak 2012 dengan penggubalan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar.
Beliau berkata perbincangan awal telah dilaksanakan bagi menggubal akta khusus pembaharuan semula bandar untuk melancarkan proses pembangunan di sekitar Kuala Lumpur pada 2013, sebelum proses penggubalan akta itu diumum pada 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial