IPOH, 24 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencemaran air yang dikatakan menjejaskan Sungai Bidor.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan berkata agensi terlibat telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian hari ini dan mengambil beberapa sampel air dari titik-titik strategik untuk dihantar ke makmal bagi analisis lanjut.
"Sampel telah diambil di dua lokasi, iaitu ladang babi dan ladang itik di Batu 2 1/2 Jalan Bruseh dekat Bidor dan hasil siasatan mendapati ladang babi terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan, namun sampel efluen di bahagian discharge end ladang dan discharge pipe di kawasan sungai telah diambil serta dihantar ke makmal untuk ujian Biochemical Oxygen Demand (BOD).
"Siasatan di ladang itik pula mendapati ladang itu tidak menggunakan kolam bagi menternak itik, oleh itu tiada sisa air kumbahan kolam itik disalur keluar dari kawasan sungai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad mendesak kerajaan negeri menyiasat kewujudan ladang babi di Kampung Poh yang menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor di kawasan terbabit.
Sementara itu, Sivanesan berkata hasil analisis penuh akan diterima minggu depan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dalam Enakmen Pengawalan Perladangan Babi 1992.
"Berdasarkan rekod persampelan yang dijalankan pada 2024 dan Januari tahun ini, bacaan BOD bagi ladang terbabit mematuhi kadar bacaan minimum yang ditetapkan, sisa kumbahan atau pelepasan air sisa kumbahan bacaannya perlu kurang daripada 50 ppm.
"Itu adalah syaratnya kerana semua ladang khinzir di Perak telah melaksanakan usaha ke arah Modern Pig Farming (MPF) dan antara kriterianya ialah pelaksanaan pelepasan sifar, persampelan sisa air dijalankan dua kali setahun bagi semua ladang babi di Perak oleh DVS," katanya.
Selain itu katanya, JAS Perak melalui sistem Environmental Quality Monitoring Program (EQMP) telah melakukan semakan terkini berkaitan data kualiti pemantauan Sungai Bidor.
"JAS memaklumkan terdapat tiga stesen manual bagi Sungai Bidor dan status bagi kesemua stesen secara keseluruhannya berada dalam kelas I dan II, iaitu kategori bersih.
"Bagi tahun ini, ujian telah dilakukan pada Februari lepas dan status kualiti air Sungai Bidor berada pada kelas II, namun JAS akan terus melaksanakan siasatan lanjut selain menguji sampel in-situ bagi mendapatkan status indeks kualiti air Sungai Bidor," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial