POLITIK

Belia Disaran Jangan Abaikan PRK Ayer Kuning - AMK

24/04/2025 08:37 PM

TAPAH, 24 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim mahu golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyertai proses demokrasi dengan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, Sabtu ini.

Beliau berkata penyertaan aktif anak muda penting kerana generasi itu akan menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa depan.

“Jika anak muda ambil sikap tidak peduli, kita bimbang ia akan menghakis kepercayaan dan keterlibatan mereka dalam proses politik, sedangkan mereka inilah yang akan memimpin negara suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita pada program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Changkat Petai di sini hari ini.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata AMK telah mengenal pasti pengundi muda yang berada di luar kawasan dan usaha sedang dijalankan bagi meyakinkan mereka untuk pulang mengundi.

“Kita mahu anak muda faham bahawa pilihan raya ini bukan sekadar pilihan raya kecil yang biasa. Ia ruang untuk menolak politik kebencian dan memperkukuh perpaduan serta hala tuju negara yang lebih progresif,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Menyentuh mengenai kemenangan ramai calon muda pada pemilihan PKR pada peringkat cabang khususnya di Perak, Muhammad Kamil berkata struktur kepimpinan parti itu sendiri telah menunjukkan keterbukaan kepada suara generasi muda.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PKR Perak Mohd Azlan Helmi dilaporkan berkata ramai ketua cabang baharu terdiri daripada bekas ahli AMK antaranya di Batu Gajah, Gopeng, Tanjung Malim, Lenggong, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang dan Parit Buntar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan