AM

SPM: Masalah Pendengaran Bukan Penghalang Untuk Peroleh 10A

24/04/2025 06:57 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Masalah pendengaran tidak menghalang Lee Wan Lin daripada memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun perlu bersaing dengan rakan sebaya di sekolah aliran perdana. 

Lee, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent di sini, berterima kasih kepada ibu bapanya kerana sering memberi sokongan sehingga dia berjaya memperoleh keputusan 10 A.  

“Mereka beri semangat, bahawa kekurangan pendengaran bukan halangan untuk berjaya dan saya boleh cemerlang. Saya juga berterima kasih kepada guru yang sangat baik dan banyak membantu di sekolah,” katanya kepada pemberita di sekolah itu hari ini. 

Lee berkata dirinya mengalami masalah pendengaran pada telinga kiri sejak berusia 13 tahun selepas tidak dapat mendengar semasa menggunakan fon telinga, walaupun telah menaikkan bunyi ke tahap paling tinggi.

Berkongsi amalan belajarnya, Lee yang meminati subjek fizik berkata dia sering fokus semasa di sekolah. 

“Saya fokus semasa pembelajaran, tulis nota dan bertanya cikgu berulang kali selain mengulang kaji pelajaran semasa waktu terluang di rumah. Selain itu, kawan-kawan juga sudi belajar bersama di sekolah,” katanya.

Lee berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Malaya sama ada dalam bidang farmasi, perubatan atau pergigian.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan