AM

Tiada Layanan Dua Darjat Babitkan Insiden Jalur Gemilang - PM Anwar

24/04/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada layanan dua darjat dalam isu membabitkan insiden paparan bendera tidak lengkap dan siasatan akan dijalankan terhadap pihak-pihak terlibat. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri menjelaskan prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua tanpa pengecualian dan mahukan semua pihak lebih peka dan berhati-hati. 

“Mutakhir ini, sekali lagi Perdana Menteri menzahirkan kegusaran terhadap beberapa insiden yang melibatkan kesilapan paparan Jalur Gemilang, bendera rasmi negara yang menjadi lambang kedaulatan dan maruah kita semua.

“Semua sedia maklum, insiden ini bermula dengan melibatkan sebuah akhbar minggu lepas dan seterusnya libatkan juga sebuah syarikat luar negara yang menyertai pameran di Kuala Lumpur dan terbaharu hari ini, libatkan laporan prestasi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang dikeluarkan KPM (Kementerian Pendidikan) yang turut paparkan bendera Malaysia yang tidak lengkap,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri menyatakan kekhilafan dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej tersebut sama ada dengan sengaja atau tidak.

Beliau berkata bagaimanapun hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan. 

“Mengenai penggunaan AI, ia perlu disertai dengan tanggungjawab. Perdana Menteri menyambut baik inovasi dalam bidang teknologi termasuk AI yang kian meluas dalam pelbagai sektor namun, menegaskan bahawa ia tidak boleh ganti tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan