AM

SPM 2024: Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Bangga MRSM Catat Prestasi Cemerlang

24/04/2025 06:20 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 atas pencapaian amat membanggakan termasuk 7,650 calon daripada 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keputusan itu mencerminkan kecemerlangan dan dedikasi pelajar yang telah berusaha tanpa berputus asa berserta pengorbanan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta pendidik.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2024 yang telah menerima keputusan hari ini dengan pencapaian yang amat membanggakan, termasuk peningkatan bilangan pelajar cemerlang dan Gred Purata Kebangsaan terbaik sejak 2013," katanya.

Beliau berkata gred purata (GP) oleh calon SPM daripada MRSM meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun sebelumnya. 

Ahmad Zahid berkata sebanyak 10 MRSM telah mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 pada 2024 berbanding hanya satu MRSM pada tahun sebelumnya manakala 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00 berbanding hanya sembilan MRSM sahaja pada 2023.

“Sejumlah 1,670 daripada 7,650 pelajar MRSM, iaitu 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+, A dan A-). Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 1,131 pelajar pada SPM 2023,” katanya.

Beliau berkata pada 2023, sebanyak 50 calon MRSM memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil, dan pencapaian itu meningkat kepada 69 orang, iaitu lapan calon memperoleh 10A+ dan 61 calon memperoleh 9A+ kali ini.

"Daripada keseluruhan 55 MRSM di seluruh negara, 54 MRSM berjaya mencatatkan peningkatan GP. MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau menunjukkan peningkatan GP tertinggi dengan masing-masing menunjukkan lonjakan GP sebanyak 1.408 dan 1.171,” katanya.

Keputusan peperiksaan SPM 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.

Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan