EKONOMI

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar US

24/04/2025 10:46 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjejaki peningkatan dalam indeks dolar US (DXY) susulan pasaran bertindak balas terhadap petunjuk bahawa Presiden AS Donald Trump mungkin akan mengubah pendirian mengenai dasar tarif.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.3970/4100 berbanding dolar US daripada 4.3880/3925 ketika ditutup pada Rabu.

DXY melonjak 0.95 peratus kepada 99.857 mata, manakala hasil Perbendaharaan AS dua tahun naik lima mata asas kepada 3.87 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran dilihat reda kerana pentadbiran Trump memberi isyarat ia mungkin menurunkan tarif ke atas import China.

Beliau berkata langkah itu adalah usaha untuk membawa China kembali ke meja rundingan, walaupun ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan terus meningkat.

"Sehubungan itu, dolar-ringgit US mungkin diniagakan dalam lingkungan RM4.39 hingga RM4.40 hari ini," katanya.

Di peringkat tempatan, ringgit didagangkan tinggi berbandin mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0701/0796 daripada 3.0925/0959 ketika ditutup pada Rabu, menambah berbanding pound Britain kepada 5.8317/8490 daripada 5.8457/8517 dan melonjak berbanding euro kepada 4.9805/9952 daripada 5.0102/0154.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3478/3515 daripada 3.3523/3579, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0922/1403 daripada 13.1251/1457.

Bagaimanapun, ia turun berbanding peso Filipina kepada 7.77/7.80 daripada 7.75/7.77 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 260.5/261.5 daripada 260.0/260.5.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan