JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Termasuk Suami Isteri Ditahan Terlibat Kes Khianat Dengan Api, Simbah Cat

23/04/2025 09:54 PM

SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan kerana disyaki terlibat melakukan perbuatan khianat dengan api dan simbah cat, dalam satu operasi khas di Kepong dan Bukit Jalil pada 8 dan 9 April lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek termasuk pasangan suami isteri berumur 20 dan 22 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun yang tinggal di Ampang pada 20 Mac, mendakwa rumahnya telah dibakar akibat dibaling bom petrol (molotov cocktail).

Beliau berkata siasatan mendapati suspek mendapat tawaran melakukan jenayah itu daripada along dari Singapura yang dibuat melalui media sosial dengan upah antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk melakukan khianat dengan api.

Bagi khianat simbah cat, katanya mereka akan menerima bayaran antara RM600 hingga RM900 bagi satu perbuatan.

“Siasatan mendapati dua suspek lelaki ini juga menawarkan tugas terbabit kepada individu lain menerusi Facebook dan sebagainya dengan bayaran RM500 hingga RM800 bagi khianat dengan api dan upah RM300 hingga RM350 untuk simbah cat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata suspek wanita pula berperanan merakamkan video dan mengambil gambar sewaktu kejadian khianat dilakukan sebelum dihantar untuk tuntutan upah daripada pihak yang mengupah mereka.

Beliau berkata semakan mendapati suspek berkenaan telah melakukan sembilan kes khianat, iaitu empat di Selangor, dua di Perak dan Johor serta satu di Negeri Sembilan.

Hussein berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tangkapan dipercayai berjaya menyelesaikan empat kes khianat dengan api dan simbah cat di Selangor melibatkan kejadian di Ampang Jaya, Kajang, Serdang dan Kuala Langat.

“Dua suspek lelaki masih ditahan reman manakala suspek wanita telah diberikan ikat jamin dengan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan