EKONOMI

Imuniti Siber: Strategi Baharu Kapersky Untuk Perangi Jenayah Siber

23/04/2025 09:59 PM

Oleh C.Vinoothene

SINGAPURA, 23 April (Bernama) -- Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky mengguna pakai imuniti (kekebalan) siber sebagai pendekatan strategik baharu untuk memerangi jenayah siber.

Penyelidikan terkini dijalankan Kaspersky mendapati bahawa 73 peratus golongan profesional dalam bidang keselamatan siber melihat imuniti siber sebagai strategi berkesan untuk menghalang penjenayah siber daripada menembusi rangkaian dan merosakkan sistem.

Pengarah Urusannya, Adrian Hia berkata kesedaran siber baharu ini boleh membantu syarikat berkembang tanpa rasa bimbang terhadap serangan.

“Syarikat sedang menggabungkan teknologi operasi (OT) dan sistem teknologi maklumat (IT), bagaimanapun ini boleh menjadi cabaran dalam membina daya tahan siber.

"Sekiranya kita mempunyai cara untuk menjadi kebal terhadap serangan perisian hasad serta serangan ransomware ke atas perisian, kita tidak perlu khuatir mengenai keselamatan siber lagi," katanya semasa sidang media Kaspersky di GITEX Asia 2025, di sini hari ini.

Penemuan daripada penyelidikan itu termasuk hampir 850 profesional dalam keselamatan siber dari rantau Asia Pasifik, Timur Tengah, Turkiye, Afrika, Eropah, Amerika dan Rusia.

Kaspersky imuniti siber pada mulanya ditakrifkan sebagai konsep sistem IT dan OT selamat dengan reka bentuk disebabkan oleh metodologi pembangunan dan keperluan seni bina yang khusus.

Daya tahan yang wujud terhadap serangan siber ini meminimumkan kos yang berkaitan dengan penyelesaian keselamatan siber luaran.

Hia berkata imuniti siber mengambil masa dan boleh dicapai dalam beberapa peringkat.

"Imuniti siber tidak akan berlaku serta-merta, ia akan dilaksanakan secara berperingkat. Mana-mana syarikat yang menjalani pendigitalan harus mengutamakan imuniti siber.

"Kami yakin bahawa evolusi keselamatan siber akhirnya akan beralih kepada keadaan imuniti siber (menjadi satu kebiasaan)," katanya.

Kaspersky menyertai GITEX Asia sebagai rakan kongsi Imuniti Siber dan akan menganjurkan Persidangan Imuniti Siber Kaspersky di venue pameran esok.

Acara ini akan menampilkan maklumat dan penjelasan daripada pakar industri yang membincangkan penumpuan IT dan OT, pendekatan imuniti siber dan topik keselamatan siber yang lain.

GITEX Asia, sebahagian daripada rangkaian GITEX GLOBAL, dianggap sebagai pameran teknologi dan acara permulaan terbesar di dunia.

Ia diadakan di Marina Bay Sands, Singapura dari 23 hingga 25 April.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan