AM

Kos Ganti Keseluruhan Paip Dasar Laut Ke Langkawi Boleh Cecah Berbilion Ringgit

23/04/2025 02:21 PM

ALOR SETAR, 23 April (Bernama) -- Kos untuk menggantikan keseluruhan paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air dari tanah besar ke Pulau Langkawi boleh mencecah berbilion ringgit, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusuf@Munir Zakaria.

Beliau berkata disebabkan kos terlalu tinggi, masalah berkaitan kebocoran paip hanya dapat diatasi menerusi kerja-kerja pembaikan.

“Oleh itu buat masa ini kita cuma belanja RM50 juta termasuk RM10 juta bagi kos perundingan manakala baki RM40 juta untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) yang ingin tahu anggaran kos untuk menukar keseluruhan paip dasar laut ke pulau itu.

Mohamad Yusuf berkata sejak Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil alih konsesi Taliworks Langkawi pada 1 Nov 2020, sebanyak 42 lokasi kebocoran baharu telah dibaiki dengan kaedah pengapit bawah air.

Beliau berkata pada masa ini kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan kebocoran paip dijalankan setiap dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca dan laut, dengan kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikan dan pemeriksaan kebocoran baharu dan lama berjumlah RM3.1 juta.

Muhammad Yusuf berkata SADA akan melaksanakan projek pembaikan paip dasar laut ke Langkawi bagi meningkatkan kestabilan bekalan air terawat di pulau peranginan tersebut.

Projek itu dalam fasa akhir perolehan dan akan bermula Ogos ini dengan jangkaan siap pada Februari tahun depan, melibatkan pemasangan 19 unit pressure steel clamp, enam unit rubber patch stopper dan proses mencegah karat atau kakisan dengan menggunakan teknik perlindungan katodik.

Selain itu, beliau berkata kadar kebocoran paip tertinggi dicatatkan ialah 55 peratus atau 33 juta liter sehari (MLD) kehilangan air, berbanding 60 MLD pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru di Perlis.

“Hasil pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran dapat menurunkan kadar kehilangan air kepada 27 peratus atau 16 MLD,” katanya.

Paip dasar laut sepanjang 36 kilometer berusia hampir 30 tahun itu membawa bekalan air dari LRA Sungai Baru ke Langkawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan