KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan menjadi pemangkin kepada usaha Pavilion Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM13 bilion semasa Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Kansai, Jepun.
Usaha itu juga akan disokong melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata melalui penyelesaian pembiayaan yang disasarkan, jangkauan sektoral dan inisiatif padanan perniagaan strategik, EXIM Bank membantu merealisasikan matlamat itu sepanjang tempoh enam bulan ekspo berkenaan.
“Kehadiran kami di Ekspo Dunia 2025 menunjukkan komitmen yang jelas kepada komuniti perniagaan.
“Syarikat Malaysia yang bersedia untuk ke persada global mendapat sokongan institusi kewangan yang memberi tumpuan kepada perniagaan rentas sempadan dan komited sepenuhnya untuk menjayakan pertumbuhan antarabangsa mereka,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Nurbayu Kasim Chang.
Beliau berkata ekspo itu yang akan bermula pada 13 April, 2025 menawarkan peluang yang tepat pada masanya untuk mengukuhkan keyakinan pelabur, mewujudkan hubungan rentas sempadan dan menyalurkan pelaburan langsung asing ke dalam sektor-sektor strategik.
“Apabila syarikat Malaysia melangkah ke pentas global ini, mereka tahu bahawa EXIM Bank sentiasa ada untuk menyokong mereka.
“Kami bukan sekadar institusi pembiaya; kami juga merupakan rakan kongsi strategik dalam membuka peluang pelaburan, membina daya tahan rantaian bekalan dan menjana peluang pekerjaan baharu di dalam dan di luar negara,” katanya.
Menurut MITI, penglibatan EXIM Bank sejajar dengan pelan tindakan pembangunan negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang meletakkan industri halal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi masa depan Malaysia dengan mengintegrasikannya ke dalam strategi pembangunan perindustrian dan eksport yang lebih meluas.
“Bagi memperdalam penglibatan, bank ini akan menganjurkan sesi khusus sektor, termasuk perbincangan ringkas mengenai kewangan dan perniagaan patuh Syariah serta acara padanan perniagaan dengan pemain industri Jepun,” kata kementerian itu.
Pada 2024, bank itu telah memudahkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM415.7 juta melalui platform Malaysia Global Connect untuk menyokong tujuh syarikat Malaysia yang beroperasi di pasaran bukan tradisional, termasuk negara-negara Afrika seperti Algeria, Kenya dan Afrika Selatan, serta negara dalam Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) seperti Kazakhstan.
“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan usaha tertumpu EXIM Bank untuk meletakkan perniagaan Malaysia dalam kedudukan yang kompetitif di ekonomi yang sedang pesat membangun melalui penyelesaian kewangan dan perundingan yang disesuaikan.
“Bank ini juga sedang mengukuhkan kehadirannya di rantau ASEAN sebagai sokongan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan memperkukuh aliran perdagangan dan pelaburan rentas sempadan di Asia Tenggara,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial