EKONOMI

JS-SEZ Tawar PKS Potensi Teroka Lebih Luas Pasaran Serantau – Tengku Zafrul

21/04/2025 06:16 PM

Oleh Anas Abu Hassan

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kerana berpotensi meraih manfaat besar daripada kesan limpahannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata JS-SEZ iaitu zon ekonomi rentas sempadan yang pertama seumpamanya akan memanfaatkan kelebihan daya saing Malaysia dan Singapura terutamanya melalui Johor serta akan berperanan sebagai pintu masuk bagi syarikat yang ingin menembusi pasaran serantau.

“Kami juga memberi tumpuan bagi memastikan sebanyak mungkin kesan limpahan dapat dicapai dan PKS mendapat manfaat daripadanya.

“Ini merupakan satu daripada agenda yang ingin kami ketengahkan dan kami akan memantaunya dengan teliti,” katanya sewaktu sesi panel bertajuk "Menggalakkan Pengembangan Perniagaan, Mengubah Bakat dan Teknologi" di Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ di sini hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, PKS boleh menyertai ekosistem rantaian bekalan yang lebih luas dengan menyokong syarikat multinasional dan tempatan yang beroperasi di Johor serta merebut peluang yang muncul daripada pihak Singapura melalui JS-SEZ.

Beliau berkata PKS boleh diberi jaminan akan mendapat sokongan kukuh daripada kerajaan apabila mereka turut serta secara aktif dalam zon ekonomi khas tersebut.

“Kami ingin melihat JS-SEZ berkembang tetapi pertumbuhan itu mesti terangkum,” katanya, sambil menambah kerajaan juga mahu PKS mengakses pasaran ASEAN yang lebih luas.

Tengku Zafrul turut menekankan satu daripada keutamaan ekonomi utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN iaitu menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) sambil menggalakkan penyertaan yang lebih besar daripada PKS dan perusahaan mikro.

“JS-SEZ merupakan kawasan atau pangkalan apabila anda mempunyai akses kepada logistik yang hebat bagi menyokong eksport anda ke pasaran ASEAN,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul juga menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) yang pertama di antara Pelabuhan Tanjung Langsat (TLP) dengan Pertamina Energy Terminal (PET) yang bertujuan mencapai jumlah dagangan tahunan sebanyak tiga juta tan dalam JS-SEZ yang baru ditubuhkan.

MoU kedua di antara Maybank Islamic Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd dengan objektif mengukuhkan ekosistem mikro-PKS tempatan selaras dengan tumpuan ekonomi strategik JS-SEZ.

Turut hadir pada forum tersebut iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industrinya, Gan Kim Yong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan