KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan China National Nuclear Corporation Overseas Ltd. (CNOS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memajukan penyelidikan nuklear dan menyokong peralihan Malaysia kepada tenaga lestari.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu, memberikan tumpuan kepada usaha bersama dalam sistem nuklear termaju, termasuk reaktor pelakuran-pembelahan, rantaian bekalan bahan api nuklear, pembangunan bahan termaju dan kerangka keselamatan nuklear.
“Perkongsian ini bertujuan untuk memacu inovasi dalam teknologi nuklear dan menyokong matlamat tenaga Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan UTP Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Hassan dan Wakil Penolong Jeneral Pejabat Asia China National Nuclear Corporation (CNNC) dan Pengurus Besar Ibu Pejabat ASEAN CNOS Chen Minfeng.
Mohd Fadzil berkata perkongsian itu menandakan satu pencapaian penting, dalam usaha UTP untuk mendapatkan inovasi, kelestarian dan penyelesaian yang berasaskan penyelidikan, menawarkan pelajar, penyelidik dan fakulti, peluang untuk terlibat dengan teknologi nuklear terkini melalui penyelidikan bersama, pertukaran pengetahuan dan penempatan industri dengan CNOS, selaras dengan keutamaan penyelidikan Malaysia.
Dalam membangunkan kepakaran UTP dalam sains nuklear, termasuk pengayaan isotop hidrogen, kejuruteraan bahan termaju, dan ujian neutron beliau berkata MoU itu memperluas kerjasama UTP yang sedang berjalan dengan PETRONAS Research Sdn Bhd, dengan kemajuan signifikan telah dicapai dalam pemulihan isotop hidrogen, yang penting untuk sistem tenaga pelakuran di masa hadapan.
“Perkongsian ini memperkasakan pelajar dengan pembelajaran dalam dunia sebenar melalui kolaborasi strategik yang memacu inovasi,” katanya dan menambah MoU itu juga dijangka akan mencetuskan inovasi kurikulum dan pengembangan bakat dalam sains nuklear, memupuk generasi pemimpin seterusnya dalam bidang yang memberi impak tinggi ini.
Mohd Fadzil berkata perkongsian itu mencerminkan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan China, mengukuhkan kerjasama jangka panjang dalam sains, teknologi dan pembangunan lestari.
“Bersama dengan CNOS, CNNC, Malaysian Institute of Microelectronic Systems (MIMOS) Berhad dan PETRONAS Research Sdn Bhd, kami berharap dapat memajukan inovasi nuklear,” katanya.
Kolaborasi ini juga meningkatkan reputasi UTP sebagai pemimpin dalam penyelidikan nuklear, yang ditekankan dengan kedudukan terkini dalam Times Higher Education World University Rankings 2025, yang UTP diiktiraf sebagai universiti terbaik Malaysia dan universiti swasta terkemuka di ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial