AM

KPDN Kelantan Laksana Program COSS Atasi Isu Minyak Masak Paket

20/04/2025 05:58 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melaksanakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sejak awal April, bagi memastikan  minyak masak paket diagihkan secara telus dan sampai kepada pengguna yang layak.

Pengarahnya Azman Ismail berkata sasaran utama program itu untuk memantau keseluruhan proses pengeluaran dan agihan minyak masak bersubsidi oleh pengilang sehingga kepada peruncit.

"Kita akan melaksanakan pemantauan bagi melihat setiap kuota minyak masak disalurkan, termasuk kepada pasar raya dan premis yang beroperasi tujuh hari seminggu supaya bekalan benar-benar sampai kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri KPDN Kelantan di sini hari ini.

Azman berkata pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan pengagihan minyak masak bersubsidi menerusi setiap Program Rahmah anjuran kementerian, dengan sasaran pelaksanaan 180 program setiap bulan.

Beliau berkata setiap program akan disediakan sebanyak 1,000 kilogram (kg) minyak masak paket untuk memastikan pengunjung yang hadir menerima bekalan minyak masak bersubsidi.

"Saya harap para peniaga tidak menggunakan minyak masak paket untuk tujuan perniagaan kerana ia dikhaskan kepada pengguna isi rumah sahaja. Sekiranya didapati mana-mana peniaga menyimpan lebih daripada 10 kg minyak masak paket tanpa permit atau kebenaran, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata kuota pengedaran minyak masak kepada pasar raya pula berbeza-beza mengikut kapasiti dan keperluan masing-masing.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan