AM

Tiada Perubahan Syarat Visa Ke Amerika Syarikat Bagi Rakyat Malaysia – Wisma Putra

19/04/2025 06:36 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) – Tiada perubahan terhadap syarat visa atau dasar imigresen yang secara khusus memberi kesan kepada warganegara Malaysia yang melancong atau menetap di Amerika Syarikat, menurut Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa meskipun terdapat laporan baru-baru ini mengenai perkembangan berkaitan imigresen di Amerika Syarikat, ia bukanlah ditujukan khusus kepada rakyat Malaysia.

“Namun begitu, rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat atau yang merancang untuk ke negara itu dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai dasar kemasukan, visa dan imigresen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata ia akan terus memantau rapi keadaan dan akan memaklumkan sebarang perubahan yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia sekiranya ada.

“Semua pengembara disarankan merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan mengambil langkah berhati-hati dalam merancang perjalanan atau tinggal di luar negara.

“Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang tempatan, peraturan imigresen serta syarat visa masing-masing yang dikuatkuasakan secara ketat,” menurut kenyataan itu lagi.

Rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan bantuan konsul digalakkan menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia terdekat di Amerika Syarikat.

Kedutaan Besar Malaysia di Washington, D.C. di alamat  3516 International Ct NW, Washington, DC 20008, dan boleh dihubungi menerusi talian +1 (202) 375 4396 atau e-mel mwwashington@kln.gov.my / consularwdc@kln.gov.my.

Warga Malaysia juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York, yang beralamat di 313 East 43rd Street, New York, NY 10017. Nombor telefon: +1 (212) 490 2723, e-mel: mwnewyorkcg@kln.gov.my.

Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles pula di alamat 777 South Figueroa Street, Suite 600, Los Angeles, California, dan boleh dihubungi melalui talian +1 (213) 892 1238 atau e-mel mwlosangeles@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan