BACHOK, 19 April (Bernama) -- Kerajaan bercadang untuk mewujudkan aplikasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan rakyat berurusan di kaunter perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata bagaimanapun cadangan itu adalah rancangan jangka panjang untuk memastikan perkhidmatan di kaunter kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kerajaan sentiasa berusaha untuk mencari satu kaedah baharu bagaimana untuk kurangkan perkhidmatan kaunter dengan cara guna teknologi dan AI.
"Justeru, kita cuba mewujudkan aplikasi yang lebih memudahkan supaya rakyat tidak perlu lagi datang ke kaunter, tetapi hanya menggunakan aplikasi tertentu untuk berurusan dengan pihak kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana Jabatan Perkhidmatan Awam - Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Sekolah Kebangsaan Telaga Ara di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah INTAN Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Mengulas mengenai pelaksanaan inisiatif pusingan kerja membabitkan penjawat awam bertugas di kaunter perkhidmatan kerajaan, Wan Ahmad Dahlan berkata proses pusingan kerja fasa pertama sudah selesai dilakukan membabitkan pelbagai agensi jabatan kerajaan.
"Kita sedia maklum pusingan kerja ini penting untuk dilaksanakan sebab kita tidak mahu seseorang pegawai itu berada begitu lama di tempat (jabatan) tertentu kerana ia boleh menimbulkan pelbagai isu seperti ketirisan dan sebagainya.
"Ini adalah satu daripada proses berterusan dan kita tidak boleh menukar semua pegawai-pegawai kita di kaunter kerana akan menimbulkan isu dari segi pelaksanaan dan pusingan kerja ini akan dilakukan membabitkan pelbagai jabatan secara berfasa," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan seramai 1,000 pegawai perkhidmatan awam terlibat pelaksanaan inisiatif pusingan kerja sejak Ogos tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial