AM

Kamus Braille Dwibahasa Pertama Diedar Secara Percuma Bulan Depan

19/04/2025 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kamus dwibahasa Braille pertama negara akan mula diagihkan secara percuma ke sekolah pendidikan khas, universiti, pusat latihan dan komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan di seluruh negara bulan depan.

Pemegang Amanah Yayasan Orang Buta Malaysia Silatul Rahim Dahman berkata pembangunan kamus itu bermula pada 2021 dan ia siap sepenuhnya tahun lepas dengan peruntukan hampir RM500,000.

“Kamus ini mengandungi kira-kira 20,000 patah perkataan, diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan diterbitkan dalam sembilan jilid oleh penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya. 

Silatul Rahim berkata demikian kepada kepada pemberita selepas pelancaran kamus itu oleh Ketua Perancangan dan Perkhidmatan Korporat Yayasan Petronas Khairunnisa Ghazali di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan perancangan awal, pengagihan itu melibatkan 1,000 unit kamus, dan akan turut dipromosikan ke peringkat serantau, antaranya Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand, jika  mendapat permintaan.

Beliau juga optimis kamus itu akan mendapat permintaan baik memandangkan kamus seumpamanya masih tiada di rantau ini. 

Mengulas lanjut, Silatul Rahim berkata 15 panel pakar terlibat dalam penghasilan kamus itu, terdiri daripada pegawai Kementerian Pendidikan (KPM), guru sekolah pendidikan khas dan pendidik dari Institut Pendidikan Guru.

Beliau yang juga Presiden Majlis Pendidikan Khas Antarabangsa Rantau Asia Timur berkata fasa kedua pembangunan kamus dengan 50,000 patah perkataan dijangka bermula tahun depan dan dijadualkan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Selain itu beliau turut menyuarakan keperluan untuk menerbitkan lebih banyak kamus dan ensiklopedia dalam format Braille atau audio bagi golongan OKU penglihatan, supaya mereka tidak bergantung kepada satu penerbitan sahaja, sebaliknya mempunyai pilihan pelbagai sumber.

Sementara itu Ketua Projek Pembangunan Kamus Braille Dwibahasa Dr Mohd Norazmi Nordin dalam kenyataan berkata beliau harap kamus berkenaan bukan sekadar menjadi alat terjemahan, sebaliknya pemangkin kepada penguasaan dwibahasa dalam kalangan pengguna Braille.

Beliau yang juga pensyarah kanan (Pendidikan Khas-Masalah Penglihatan), Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, UKM berkata, usaha itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif inklusif dalam membantu sesi pembelajaran golongan OKU.

“Semoga kamus ini mencetuskan lebih banyak kerjasama antara institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan korporat dalam menghasilkan bahan pembelajaran untuk komuniti orang buta,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan