AM

Ikhlas.com Taja 1,000 Asnaf Tunai Umrah

18/04/2025 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) akan menaja pakej umrah untuk 1,000 asnaf sempena ulang tahun kelimanya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com Ikhlas Kamarudin berkata Kempen Umrah 1,000 Asnaf itu dilancarkan sebagai inisiatif menyumbang kepada komuniti dan memberi akses kepada umat Islam untuk menunaikan umrah.

“Setakat hari ini, sudah sembilan asnaf terpilih dan lebih 800 permohonan diterima. Kempen ini akan berlangsung selama satu tahun setengah dan kita sasar jemaah akan mula diterbangkan ke Tanah Suci bermula Julai 2025.

“Pergerakan mereka akan dilaksanakan secara berperingkat dan diterbangkan mengikut kumpulan serta tarikh yang ditetapkan,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun.

Beliau berkata kira-kira RM5 juta dibelanjakan khusus untuk tajaan pakej umrah itu dan jumlah terbabit tidak termasuk kos pencarian asnaf menerusi kempen berkenaan di seluruh negara.

“Pakej utama kami bermula RM4,999 dan jika dikira kepada 1,000 orang akan mencecah RM5 juta. Pakej itu adalah asas tetapi dilengkapi penginapan, pengangkutan, umrah berpandu mutawif, ziarah dan banyak lagi untuk memenuhi keperluan jemaah,” katanya.

Ikhlas berkata sempena kempen itu, sebuah Mercedes-Benz S124 300TE klasik 1987 yang digelar Qashwa akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam pencarian calon yang layak untuk ditaja menunaikan umrah.

Beliau berkata rakyat Malaysia boleh menghantar pencalonan melalui laman Instagram @ikhlasdotcom dengan tanda pagar #IkhlasUmrah1000Asnaf dan bukti visual situasi asnaf.

“ikhlas.com akan melawat calon yang disenarai pendek untuk ditemu duga sebelum memilih penerima tajaan Umrah 1,000 Asnaf,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan