KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Malaysia bersedia mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju serantau dalam transformasi dan inovasi penjagaan kesihatan menerusi persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata acara utama dalam penjagaan kesihatan menzahirkan komitmen negara terhadap diplomasi kesihatan, dan selaras dengan keutamaan negara untuk meningkatkan akses, kualiti, pendigitalan dan kemampanan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.
“MIH Megatrends 2025 menyasarkan untuk menjadikan pamerannya sebagai hab inovasi penjagaan kesihatan utama di ASEAN, manakala komponen persidangannya akan berperanan sebagai platform kepimpinan pemikiran yang menghimpunkan pihak berkepentingan di dalam dan luar negara, termasuk sektor kesihatan bukan kerajaan, pelabur dan orang ramai,” katanya pada majlis prapelancaran MIH Megatrends 2025 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata persidangan ini akan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD), kesihatan awam dan kemampanan, sejajar dengan Kertas Putih Kesihatan, yang menggariskan visi jangka panjang Malaysia untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama, berdaya tahan dan mampan.
“Sebagai penjaga kesihatan negara, Kementerian Kesihatan (KKM) memainkan peranan penting dalam menangani cabaran semasa dan membangunkan penyelesaian yang realistik dan praktikal.
“Ini adalah peluang yang tepat pada masanya untuk profesional penjagaan kesihatan berhubung, bekerjasama dan berkongsi kepakaran mereka mengenai teknologi terkini dan trend global yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan,” tambahnya.
MIH Megatrends 2025 adalah kerjasama strategik antara KKM dan KPJ Healthcare Bhd, dan dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Nov di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Inovasi untuk Masa Depan Kesihatan yang Mampan’, persidangan itu mencerminkan hala tuju strategik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Acara ini akan menghimpunkan pemimpin pemikiran global, penggubal dasar penjagaan kesihatan, doktor, inovator dan pakar industri untuk bertukar idea serta meneroka penyelesaian berskala dalam bidang seperti penjagaan berasaskan nilai, kecerdasan buatan, kesihatan mental, bioteknologi dan kemampanan dalam penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial