Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor telah membincangkan inisiatif-inisiatif sandbox dalam usaha menangani kebimbangan pelabur serta industri di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata merujuk aspek penyeragaman dan piawaian kawal selia, rangka kerja berkaitan seharusnya diselaras bagi memastikan syarikat tidak terbeban apabila perlu mematuhi dua set peraturan dan piawaian berbeza.
“Kita mahu memperkemas rangka kerja kawal selia supaya operasi perniagaan dapat berjalan lancar. (Sehubungan itu) kita telah meneliti semua halangan birokrasi.
“Pada Isnin depan (dalam Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ), kita akan mengumumkan pembentukan jawatankuasa kerja baharu yang akan dipengerusikan bersama oleh saya dan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi)," katanya kepada pemberita di pejabatnya, baru-baru ini.
Tengku Zafrul berkata kerajaan juga aktif dalam menggalakkan usaha kelancaran menjalankan perniagaan menerusi pendekatan seperti penyelarasan proses kastam, mempermudah struktur cukai dan kelulusan permit secara cekap.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri kerana turut membenarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengendalikan kelulusan permit kerja bagi pekerja asing ke negara ini.
“Sebelum ini, setiap kali mahu memulakan projek, syarikat-syarikat perlu beberapa kali ke Malaysia, adakalanya lima atau enam kunjungan sebelum projek dapat dimulakan.
“Pada lawatan keempat misalnya, pegawai imigresen atau kastam akan bertanya mengapa mereka ke sini lagi? (Bagi pekerja asing) mereka perlu membuat permohonan visa dan permit kerja dan di sinilah kita mempermudahkan proses itu.
“Pada masa ini, bagi 6+6 selepas setahun, MIDA boleh mengeluarkan hanya satu visa untuk mereka kembali bekerja,” katanya.
Tengku Zafrul berkata seiring kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, Johor juga berperanan penting dalam penyeragaman pengawalseliaan dengan usaha rintis kastam digital, meneroka dwipensijilan barangan dengan Singapura dan sejajar dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan aspek mobiliti atau pergerakan individu serta barangan, terutamanya apabila JS-SEZ beroperasi sepenuhnya.
Atas alasan itu, katanya, langkah penyediaan kemudahan khas adalah perlu untuk meningkatkan kelancaran menjalankan perniagaan.
“Semua pihak ada kebimbangan masing-masing yang perlu ditangani. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan (MOF) mungkin bimbangkan potensi penyelewengan atau kehilangan pendapatan manakala kementerian-kementerian lain pula berkaitan kelompongan pengawalseliaan serta piawaian rendah...jika berlaku sesuatu, orang awam akan menyalahkan mereka.
“Kita memahami kesemua perspektif ini dan inilah alasannya kita mencadangkan untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif sandbox ini bagi menangani kebimbangan ini secara proaktif,” katanya.
Tengku Zafrul berkata pelaksanaan dasar hanya akan menyusul selepas inisiatif itu diuji melalui pendekatan sandbox, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) MIDA telah memperkemas rangka kerja kawal selia dengan bertindak sebagai hab penyelarasan sehenti untuk memudahkan pelabur dalam urusan mendapatkan kelulusan, lesen dan keperluan kawal selia yang lain.
Menurutnya, antara tempoh 2023 hingga Mac 2025, pusat memudahcara pelaburan itu telah meluluskan 537 projek pembuatan di Johor.
“Sebanyak 84 peratus (451 projek) sudah dilaksanakan (dalam pengeluaran, pengeluaran percubaan, pemasangan jentera atau pembinaan bangunan), manakala 13 peratus lagi (70 projek) sedang melalui peringkat seperti pemilihan tapak, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan perancangan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata antara insentif kompetitif JS-SEZ untuk menarik pelaburan adalah pengecualian sementara cukai, pengurangan kadar cukai korporat dan elaun pelaburan.
Pelabur boleh memanfaatkan insentif dalam bentuk sama ada kadar cukai khas antara lima peratus hingga 10 peratus bagi tempoh 10 tahun hingga 15 tahun atau elaun cukai pelaburan kira-kira 60 peratus daripada perbelanjaan modal selama lima tahun atau 10 tahun.
Selain itu, pelabur juga boleh menikmati pengecualian duti setem dan elaun modal berkaitan kos pengubahsuaian.
Mengenai pejabat keluarga, Tengku Zafrul percaya Kementerian Kewangan akan memberi sokongan padu dan menyifatkannya sebagai bidang yang berpotensi besar untuk mencatat pertumbuhan.
Beliau berkata MITI kini sedang menunggu butiran terperinci akhir daripada Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan pejabat keluarga dalam JS-SEZ.
JS-SEZ meliputi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Wilayah pembangunan Iskandar juga merangkumi Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.
JS-SEZ disokong oleh sembilan sektor keutamaan iaitu pembuatan canggih, tenaga hijau, logistik, kecerdasan buatan, penjagaan kesihatan, teknologi kuantum, aeroangkasa, perkhidmatan digital dan industri halal.
Tengku Zafrul berkata Maybank dan CIMB akan mengumumkan pakej pembiayaan khas untuk syarikat yang memasuki JS-SEZ, kebanyakannya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), semasa Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ yang berlangsung dari 21 April - 22 April 2025.
"Kami menawarkan ruang sewa mampu milik dan kemudahan berkongsi. Pada hari kedua forum itu, kami akan menampilkan lima syarikat multinasional terkemuka untuk menunjukkan cara bagaimana mereka akan membantu PKS dan apa yang diperlukan PKS untuk mengukuhkan rantaian bekalan mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial