AM

Melaka Lancar TMM2.0 Hujung Tahun Ini

17/04/2025 06:05 PM

MELAKA, 17 April (Bernama) -- Kerajaan negeri akan melancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) pada 31 Dis depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelancaran itu susulan TMM 2024 dilanjutkan hingga 2026 bersempena dengan Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

"Ia akan menjadi Tahun Melawat Melaka versi baharu dan satu langkah yang tepat memandangkan tiga acara besar tersebut berlangsung di Melaka. 

"Paling utama ia menjadi antara platform persediaan terbaik untuk menerima delegasi dari seluruh dunia termasuk apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran VM 2026," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini hari ini.

Turut hadir Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta barisan kepimpinan negeri.

Beliau berkata pelbagai program dan acara gilang-gemilang akan disusun sempena TMM2.0 yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung serta pelancong ke Melaka.

Sementara itu, Sapiah berkata penurunan harga tiket Zoo Melaka sejak Januari lepas bertujuan menggalakkan kedatangan pelancong ke lokasi berkenaan, dan harga tiket baharu itu ditawarkan hingga hujung tahun ini.

"Harga terbaharu tiket masuk ke Zoo Melaka adalah RM33 bagi dewasa manakala RM19 bagi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan