AM

Lawatan Presiden China Ke Malaysia Amat Berjaya- Fahmi

17/04/2025 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Lawatan negara selama tiga hari Presiden China Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini disifatkan sebagai amat berjaya, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata lawatan berkenaan telah berjaya merapatkan lagi hubungan dagang antara kedua-dua negara.

“Saya juga melihat ia mengeratkan hubungan antara Presiden Xi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dan disaksikan oleh kedua-dua pemimpin sepanjang lawatan ini merupakan antara pencapaian tertinggi dalam sejarah hubungan kita,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata lawatan tersebut turut berjaya mencapai matlamat yang digariskan kerajaan.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar, Malaysia sebagai sebuah negara dagang pastinya berharap dapat meneruskan hubungan dengan pelbagai negara yang ingin menjalin kerjasama perdagangan. Justeru, lawatan ini mencapai maksud tersebut,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Anwar dan Xi telah menyaksikan pertukaran sebanyak 31 MoU dan dokumen yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara, dalam satu majlis di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Antara yang menjadi tumpuan ialah MoU antara kerajaan Malaysia dan Agensi Berita Xinhua dari China dalam bidang berita dan maklumat.

Lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara dipertingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan