IPOH, 17 April (Bernama) -- Sebanyak 53 kes gagal meletakkan tanda harga khas merah jambu dan tanda harga melibatkan nilai kompaun RM5,500 dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2025.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata kesalahan itu dikesan menerusi 520 pemeriksaan terhadap premis runcit, borong dan pengeluar di seluruh Perak bermula 24 Mac hingga 7 April lepas.
"Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2025 berjalan dengan baik dan lancar.
"Pihak KPDN juga sepanjang tempoh pelaksanaan itu tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada orang awam melibatkan penjualan melebihi harga ditetapkan," katanya pada sidang media Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN Perak di Dewan Kenanga, Bangunan Persekutuan dekat sini hari ini.
Kamalludin menambah sepanjang Januari hingga 16 April, KPDN Perak telah melaksanakan 37,147 pemeriksaan dan operasi di premis perniagaan dan 503 kes di bawah pelbagai akta telah diambil tindakan.
"KPDN Perak turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM287,650 terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh sama.
"Selain itu nilai rampasan keseluruhan berjumlah melebihi RM1 juta telah disita dan KPDN turut merekodkan lebih 698 aduan daripada orang ramai," katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima lebih 268 aduan berkaitan harga, transaksi dalam talian (97), barang kawalan (96), perkhidmatan mengelirukan (71), bengkel kenderaan (40) dan lain-lain aduan (126).
"Kejayaan operasi KPDN negeri ini kerana mendapat kerjasama orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat mengenai salah laku dalam kalangan peniaga.
"Sebagai contoh komunikasi yang digunakan oleh orang ramai di aplikasi media sosial TikTok turut menyumbang kepada kejayaan operasi dan pemeriksaan dijalankan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial