KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Malaysia dan China berikrar untuk memperdalam kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, termasuk bidang utama seperti ruang angkasa, pembangunan vaksin dan pertanian.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memanfaatkan sepenuhnya Jawatankuasa Bersama antara kerajaan mengenai Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menerusi pelaksanaan Projek Penyelidikan Bersama China-Malaysia dan Program Pertukaran Sains dan Teknologi Antara Rakyat, kedua-dua pihak menyasarkan untuk mewujudkan platform penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, termasuk makmal, meningkatkan kerjasama dalam taman-taman sains dan pemindahan teknologi, di samping memupuk kerjasama dalam teknologi baru muncul.
Berpandukan prinsip kesaksamaan dan faedah bersama, kedua-dua negara juga menyatakan kesediaan mereka untuk memajukan keupayaan angkasa lepas, memupuk pembangunan ekonomi angkasa lepas, memacu kemajuan teknologi, dan menyumbang kepada keselamatan negara.
“Kedua-dua pihak mengiktiraf potensi besar untuk mengukuhkan perkongsian di bawah perjanjian antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama Angkasa Lepas dan Penggunaan Aman bagi rangka kerja kerjasama Angkasa Lepas,” menurut kenyataan itu.
Dalam sektor kesihatan, kenyataan itu menyatakan bahawa Perjanjian Kerjasama dalam Pembangunan dan Kebolehcapaian Vaksin telah memudahkan latihan teknikal pakar untuk kedua-dua negara, memajukan kerjasama dalam pembangunan vaksin untuk manusia.
"Ia juga telah mengukuhkan keupayaan dalam inovasi vaksin melalui pemindahan teknologi, pertukaran pakar dan perkongsian sumber," katanya.
Menurut kenyataan itu Malaysia dan China juga akan menggunakan sepenuhnya Kumpulan Kerja Bersama mengenai Kerjasama Pertanian untuk mengukuhkan kerjasama mengenai pemodenan pertanian dan inovasi teknologi pertanian.
Kedua-dua pihak akan meneroka kemungkinan kerjasama dalam rangka kerja Mekanisme Keselamatan Makanan Import dan Eksport untuk Negara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan menyatakan kesediaan untuk mengembangkan perdagangan produk pertanian.
“Pihak China akan aktif menghadiri pameran antarabangsa yang diadakan di Malaysia seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM).
“China turut mengalu-alukan usaha untuk terus mempromosikan produk Malaysia dan mengembangkan eksport ke China melalui platform seperti Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) dan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO),” katanya.
Dengan memanfaatkan pengalaman kejayaan China dalam pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar yang disasarkan, kenyataan bersama itu menyatakan bahawa Malaysia berusaha menyepadukan amalan terbaik ke dalam inisiatif pembangunan negaranya, termasuk Pelan Pembangunan Lima Tahun semasa, Ekonomi MADANI dan komitmennya ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.
Bidang keutamaan penting termasuk meningkatkan pembasmian kemiskinan didorong data melalui beberapa platform yang mengguna pakai teknologi pertanian yang inovatif seperti pertanian ketepatan, bagi menyokong inisiatif seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui e-dagang.
“Dengan memperkukuh mekanisme ini, kedua-dua negara menyasarkan untuk memupuk pertumbuhan inklusif, daya tahan dan pembangunan saksama yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat akar umbi, terutamanya kumpulan terpinggir seperti miskin luar bandar, wanita, belia, Bumiputera dan penduduk asli, termasuk Orang Asli,” katanya.
Lawatan negara selama tiga hari Presiden Xi yang bermula Selasa lepas adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009. Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial