KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu sebanyak RM37.49 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 berbanding RM33.49 juta pada tahun sebelumnya.
CLMT dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan syarikat meningkat kepada RM120.38 juta daripada RM111.88 juta sebelumnya, dipacu menerusi peningkatan perolehan yang dicatatkan kebanyakan hartanah dalam portfolio CLMT.
Dalam makluman berasingan, syarikat mengumumkan pertumbuhan pendapatan boleh agih sebanyak 10.9 peratus kepada RM37.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dengan peningkatan sepadan sebanyak 7.6 peratus dalam agihan seunit (DPU) kepada 1.28 sen.
"Pendapatan hartanah bersih bagi suku pertama tahun kewangan 2025 menokok sebanyak 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM70.1 juta, dipacu terutamanya oleh peningkatan perolehan dalam kebanyakan hartanah syarikat.
"Prestasi operasi yang lebih kukuh merupakan hasil semakan semula sewa positif bagi hartanah runcit syarikat serta sumbangan pendapatan daripada Pusat Pengedaran Glenmarie yang kini diduduki sepenuhnya selepas selesainya inisiatif penambahbaikan aset syarikat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), Yong Su-Lin berkata prestasi kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2025 dicapai berdasarkan momentum yang wujud pada suku-suku sebelumnya dengan kebanyakan aset runcitnya terus mencatatkan keputusan yang memberangsangkan.
"Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan pengalaman runcit, baru-baru ini kami menyiapkan kerja penambahbaikan aset di Gurney Plaza selain memperkenalkan konsep runcit baharu untuk menarik perhatian pembeli.
"Kami akan terus mempertingkatkan usaha untuk menarik penyewa baharu yang menarik dan menyediakan gabungan penyewa yang disusun rapi di seluruh portfolio runcit kami," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial