KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Penyakit jantung kekal sebagai satu daripada kebimbangan kesihatan utama di Malaysia dengan hampir 30,000 kematian direkodkan akibat penyakit jantung iskemik pada 2023. Lebih membimbangkan, rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada purata umur 58 tahun - hampir lapan tahun lebih muda berbanding purata global.
Sebagai tindak balas terhadap trend membimbangkan itu, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) akan menganjurkan program Pulse of Life: The Ultimate Heart Health Experience, pada 25 hingga 27 April ini di Main Atrium, Sunway Velocity Mall.
Program selama tiga hari itu akan menampilkan pelbagai pengalaman interaktif, saringan kesihatan percuma serta sesi bersama pakar bagi memberikan kesedaran dan memperkasakan individu dari semua peringkat umur untuk menjaga kesihatan jantung mereka.
“Antara tarikan utama program ini ialah Immersive Visual Journey, satu pemasangan visual interaktif yang menarik iaitu degupan jantung masa nyata ditukar menjadi paparan cahaya artistik. Pengunjung juga boleh menyertai program CSR saringan ECG berskala besar - kedua-duanya ditawarkan secara percuma kepada semua pengunjung,” menurut SMCV dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sebagai langkah penilaian awal dalam mengesan kemungkinan ketidaknormalan jantung, saringan berkenaan akan disokong oleh Pakar Perunding Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalam SMCV yang akan berada di lokasi bagi mentafsir laporan saringan, mengenal pasti sebarang keperluan untuk pemeriksaan lanjut serta memberikan pandangan pakar kepada peserta.
“Menerusi dua pengalaman yang diperkenalkan buat kali pertama di Malaysia, SMCV melangkah dengan signifikan dalam menjadikan kesihatan jantung mudah diakses dan lebih menarik kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow berkata sebagai sebuah institusi penjagaan kesihatan terkemuka, mereka percaya bahawa pencegahan dan pendidikan perlu seiring.
“Melalui kempen ini, kita membawa kesedaran tentang kesihatan jantung ke ruang awam dengan cara yang menarik, informatif dan mudah diakses oleh semua. Dengan memperkenalkan Immersive Visual Journey dan saringan ECG berskala besar yang pertama di Malaysia, kami berharap dapat mencetuskan perbualan dan menggalakkan lebih ramai mengambil langkah pertama dalam memberi keutamaan kepada kesihatan jantung mereka,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman SMCV Dr Tee Chee Hian berkata ramai beranggapan penyakit jantung hanya menjejaskan golongan warga emas namun mereka kini melihat semakin banyak rakyat Malaysia yang muda didiagnosis dengan masalah kardiovaskular.
“Kami berharap dapat menunjukkan bahawa kesihatan jantung tidak perlu rumit kerana pengesanan awal pendidikan dan perubahan kecil dalam gaya hidup boleh memberikan perbezaan yang besar,” katanya.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan turut mengumpulkan beberapa jenama kesihatan termasuk Sunway Multicare Pharmacy, ChiX Fitness dan Nestlé Omega Plus. Rakan kongsi ini akan menawarkan akses ke gerai-gerai, nasihat kesihatan dan pengalaman berfokuskan kecergasan kepada para pengunjung.
“Pengunjung boleh meneroka Galeri Pendidikan Kesihatan Jantung dan Pameran Jantung Gergasi oleh Viatris, satu pameran interaktif yang direka untuk mendidik orang ramai mengenai anatomi jantung dan cara ia berfungsi, pencegahan penyakit jantung, faktor risiko serta kesan pilihan gaya hidup terhadap kesihatan kardiovaskular.
“Bagi mereka yang suka bergerak cergas, bengkel kecergasan percuma dengan kerjasama ChiX Fitness akan menyediakan sesi senaman dan cabaran kecergasan sepanjang tiga hari program ini berlangsung, menunjukkan bagaimana aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan meningkatkan kesihatan jantung,” menurut kenyataan itu.
Menurut SMCV, selain pameran interaktif dan aktiviti kecergasan, perkhidmatan kesihatan percuma turut disediakan sepanjang program berkenaan.
Pengunjung boleh berunding dengan ahli farmasi SMCV untuk mendapatkan nasihat mengenai ubat-ubatan dan vaksinasi serta menjalani saringan kesihatan asas secara percuma, termasuk pemeriksaan tekanan darah, glukosa dan kolesterol yang dijalankan oleh pasukan jururawat hospital tersebut.
“Orang ramai disarankan menyertai program selama tiga hari ini bagi mendapatkan pandangan berharga mengenai kesihatan kardiovaskular, menyertai saringan percuma dan meneroka pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial