WASHINGTON, 15 April (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres "sangat bimbang" dengan serangan Israel ke atas Hospital Arab Al-Ahli di Semenanjung Gaza pada Ahad, menurut jurucakap beliau pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Guterres menyatakan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mereka yang cedera dan sakit, petugas kesihatan serta kemudahan perubatan termasuk hospital, "mesti dihormati dan dilindungi," kata Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas gelombang serangan udara Israel di Gaza mengenai hospital berkenaan dan beberapa lokasi lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk kanak-kanak, menurut laporan media.
Dujarric turut memberi amaran bahawa bekalan perubatan semakin berkurangan manakala jumlah mangsa yang cedera semakin meningkat dan memenuhi hospital-hospital.
"Hampir 70 peratus kawasan di Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan paksa yang dikeluarkan oleh Israel atau dalam zon larangan, menyebabkan penduduk Palestin di Gaza tidak mempunyai tempat selamat untuk berlindung dan kekurangan keperluan asas untuk terus hidup," katanya.
Guterres turut menyuarakan "kebimbangan mendalam" apabila bantuan kemanusiaan terus dihalang, dengan Israel tidak membenarkan bantuan kemanusiaan atau bekalan penting lain memasuki wilayah itu sejak lebih tujuh minggu, kata Dujarric.
Menekankan bahawa akibat kemanusiaan adalah "amat dahsyat," Guterres menggesa Israel selaku "kuasa pendudukan" supaya memberikan bantuan dan memudahkan rakyat Palestin di wilayah yang diduduki itu dengan "semua cara yang ada padanya."
"Orang awam mesti dihormati dan dilindungi pada setiap masa serta mereka mesti mempunyai keperluan asas untuk terus hidup. Semua tawanan mesti dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat.
"Gencatan senjata mesti dipulihkan dan diperbaharui tanpa kelewatan," menurut kenyataan itu.
Hampir 51,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh di Gaza dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial