AM

LRA Wakaf Bunut Pasir Puteh Tutup Operasi Akibat Pencemaran

13/04/2025 08:18 PM

KOTA BHARU, 13 Apr (Bernama) -- Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan terdapat gangguan kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, Pasir Puteh pada 11 April lepas.

Menurut AKSB atas faktor keselamatan dan keperluan semakan lebih terperinci, pihak SPAN memaklumkan loji tidak boleh beroperasi atau menghentikan tugas untuk sementara waktu.

"Sungai Rasau adalah aliran masuk ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut dan lokasi kejadian ialah hulu kepada sungai.

"LRA itu menjadi sumber bekalan air mentah kepada LRA Wakaf Bunut disyaki telah tercemar dengan racun akibat ikan mati di kolam peliharaan berdekatan," menurut kenyataan AKSB.

Lawatan ke lokasi bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) telah diadakan pada semalam (12 April) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

"SPAN Kelantan bersama AKSB turut melakukan tinjauan di empangan pengairan JPS di Sungai Rasau dan mendapati terdapat ikan di sungai telah mati.

"Pengoperasian loji hanya boleh dilakukan setelah mendapat pengesahan air mentah adalah selamat untuk diproses oleh JSANK atau Jabatan Alam Sekitar (JAS)," menurut kenyataan itu.

AKSB akan memperluas agihan bekalan air dari LRA Merbau Chondong ke kawasan Wakaf Bunut melalui Pam Penggalak Padang Pak Amat. 

Sebanyak empat lori tangki AKSB, dibantu dua Lori Air Kontrak telah digerakkan bagi membantu premis terjejas seperti hospital dan sekolah, selain akan mendapatkan bantuan lori tangki daripada operator terdekat, iaitu Syarikat Air Terengganu (SATU).

AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook atau hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan