JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Johor Terima Laporan Kes Gaduh Di Laluan Masuk BSI

10/04/2025 06:30 PM

JOHOR BAHRU, 10 April (Bernama) -- Polis Johor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan antara dua lelaki, seperti yang tular dalam media sosial dipercayai berlaku di laluan masuk ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata laporan polis dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 7 pagi tadi berhubung pergaduhan yang tular itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat seorang daripada individu yang terlibat dipercayai telah memotong barisan sekali gus mencetuskan pertengkaran fizikal.

"Setakat ini, hanya satu laporan polis yang dibuat penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp S. Sivakumaran melalui talian 019-5127410,” katanya.

Raub berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video kejadian itu menerusi media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan