Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 8 April (Bernama) -- Labuan Food Industries Sdn Bhd, iaitu syarikat perikanan Malaysia dengan rangkaian perniagaan antarabangsa yang menyeluruh merancang untuk meningkatkan hampir tiga kali ganda pengeluaran tahunan ikan tuna siap diproses pada tahun depan susulan pembinaan kemudahan baharu di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Wei Sheng berkata syarikat yang berpangkalan di Labuan itu kini mengeksport kira-kira 140 kontena produk ikan tuna siap diproses setahun.
“Apabila kemudahan baharu ini siap (tahun ini), syarikat menyasarkan untuk meningkatkan pengeluarannya kepada 400 kontena pada 2026.
“Pengembangan ini turut disokong oleh operasi perikanan laut dalam di Lautan Hindi dan Pasifik yang boleh meningkatkan pengeluaran sebanyak 10 kali ganda bagi pasaran antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Lee berkata syarikat itu telah berjaya menembusi pasaran terbesar bagi makanan laut, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sejak 28 tahun lepas, mengeksport pelbagai jenis produk berasaskan tuna dan makanan laut lain.
Antara kejayaan membanggakan Labuan Food Industries ialah menjadi pengeksport tunggal Malaysia bagi tuna gred sashimi dan pembeli tuna terbesar di Sabah.
“Visi kami ialah menjadikan Malaysia sebagai pemain yang diiktiraf di peringkat global dalam pasaran tuna bernilai tinggi, menguasai bahagian yang lebih besar daripada pasaran global bernilai RM200 bilion,” katanya.
Beliau berkata selain tuna, syarikat itu turut mengeksport produk makanan laut lain setiap tahun, termasuk 20 kontena mahi-mahi, sardin (30 kontena), sotong kurita (20 kontena) dan sotong (10 kontena).
Destinasi eksport utama termasuk Eropah, AS, Amerika Selatan, Singapura, Australia, Brunei dan China.
Lee berkata lokasi strategik Sabah dan Labuan di salah satu wilayah pengeluaran tuna terbesar di Malaysia memberi inspirasi kepada syarikat itu untuk menceburi industri tuna.
Katanya, Sabah menerajui dalam pendaratan tuna di negara ini menjadikan ia sebagai pangkalan yang sesuai untuk meningkatkan eksport tuna berkualiti tinggi.
“Pasaran tuna global bernilai kira-kira RM200 bilion dengan Eropah, AS dan Asia merupakan lebih 84 peratus pengguna tuna dunia.
“Tuna gred sashimi ialah produk premium yang memerlukan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan makanan, iaitu kepakaran yang kami miliki untuk memenuhi jangkaan pasaran peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata Labuan Food Industries menyasarkan untuk terus memainkan peranan penting dalam memodenkan dan memperkasa komuniti nelayan tempatan serta mempromosikan amalan penangkapan yang mampan, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta makanan laut antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial