CYBERJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) menjalin kerjasama strategik dengan Imagination Advisory and Technology (IAT), pemaju AUDREY iaitu sebuah platform audit dan asurans yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) bagi menggalakkan penggunaan teknologi digital canggih di Malaysia.
Kerjasama itu dimeterai melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) pada 10 Mei lepas.
Kolaborasi berkenaan turut dibantu oleh Philandure Consulting Group (PCG), iaitu rakan strategik serantau IAT di Malaysia yang akan terus menyokong strategi penglibatan dan pelaksanaan platform itu di pasaran tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen MIGHT dalam memajukan teknologi transformatif yang menyokong aspirasi Malaysia dalam tadbir urus digital dan kepimpinan AI.
MIGHT juga berbesar hati dapat bekerjasama rapat dengan IAT dan PCG bagi menjayakan pelaksanaan platform inovatif ini.
“Di bawah MoU ini, MIGHT akan memainkan peranan sebagai Rakan Strategik Teknologi yang menyokong integrasi dan penskalaan AUDREY di institusi awam dan swasta.
“Inisiatif itu selari dengan usaha untuk mempercepat transformasi digital dan menerapkan teknologi AI ke dalam rangka tadbir urus dan pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama berkenaan akan menumpukan kepada projek perintis pelaksanaan AUDREY, penglibatan pihak berkepentingan utama serta pembangunan keupayaan tempatan dalam penyelesaian asurans yang dipacu AI.
AUDREY, dibangunkan di Afrika Selatan adalah platform pertama di dunia yang dibangunkan khas berasakan AI untuk audit dan asurans.
Dilengkapi enjin generative pre-trained transformer (GPT) proprietari, analitik risiko masa nyata dan ujian populasi data sepenuhnya sekali gus membolehkan asurans berterusan dan ramalan pandangan dengan kelajuan serta skala yang belum pernah dicapai sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial