KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara Islam agar memperkukuh hubungan dengan negara jiran masing-masing, mengambil inspirasi daripada model kerjasama ASEAN.
Dalam ucaptama pada Sesi Plenari Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia–Islamic World: Kazan Forum 2025” di Kazan, Rusia hari ini, Anwar menekankan keperluan bagi negara Islam dan jiran serantau mereka untuk melangkaui sekadar kenyataan dasar.
Beliau berkata bentuk kerjasama seperti itu perlu ditumpukan kepada usaha memacu transformasi digital, peralihan tenaga dan pemerkasaan belia.
“ASEAN merupakan antara rantau paling aman di dunia, serta antara yang paling dinamik dan rancak dari segi ekonomi. Maka, kami melaksanakan langkah-langkah praktikal seperti grid tenaga ASEAN.
“Semangat bekerjasama ini, jika diterapkan dalam kalangan negara Islam dan jiran mereka, akan membantu secara signifikan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut menggesa penglibatan lebih aktif golongan belia dalam proses pembuatan dasar, dengan menekankan keperluan mewujudkan platform inklusif yang memberi ruang kepada suara anak muda untuk mencorakkan masa depan dunia Islam.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Republik Tatarstan dan rakyatnya atas penganjuran forum itu serta komitmen mereka dalam mendorong agenda perpaduan dan inovasi dalam kalangan negara Islam, sambil menyifatkan Kazan Forum sebagai platform yang bermakna dalam menghubungkan dunia Islam dengan Persekutuan Rusia.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin atas sokongan terhadap forum tersebut, sambil menegaskan nilai pendekatan pragmatik dalam hubungan antara Rusia dan negara-negara Islam.
Lawatan Anwar ke Kazan menyerlahkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan dunia Islam yang lebih luas serta mempertingkatkan kerjasama pelbagai hala dalam bidang berkepentingan bersama.
Kazan Forum 2025 merupakan kemuncak lawatan rasmi Anwar ke Persekutuan Rusia pada hari terakhirnya. Forum itu menjadi platform utama dalam merancakkan kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial